'Saya akan terus berdoa bertemu Danial sebelum saya menutup mata'


Ibu kandung rindu nak jumpa anaknya

"Saya mohon ehsan dan merayu kepada keluarga angkat anak bantulah saya untuk bertemu dengan anak lelaki sulung saya."

Petaling Jaya: "Setiap hari tanpa lelah saya berdoa supaya dipertemukan dengan anak kandung yang terpisah sejak 14 tahun lalu.


"Saya mohon ehsan dan merayu kepada keluarga angkat anak bantulah saya untuk bertemu dengan anak lelaki sulung saya."


Itu rayuan hiba seorang ibu yang terlalu merindui anak lelakinya yang terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia 12 hari.


Noor Hidayu Juhan, 35, berkata, dia terpaksa melepaskan anak lelaki sulung diberi nama Muhammad Danial Hazmi yang dilahirkan pada 22 Ogos 2009 di bawah jagaan keluarga angkat kerana desakan hidup ketika itu.


Menurutnya, biarpun terpaksa berpisah dengan anak, rasa sayang dan rindunya tidak berkurang terhadap Muhammad Danial Hazmi, malah sentiasa berharap bertemu kembali remaja itu.


"Serahan anak kepada keluarga angkat diuruskan orang ketiga yang dikenali sebagai Hajah Saripah di Cheras dan sejak itu sudah tiada khabar berita mengenainya.


"Ketika menyerahkan anak dulu, saya ada tulis nombor telefon di kertas yang disimpan dalam plastik sebelum diletakkan dalam baju anak. Sejak itu saya tak pernah tukar nombor telefon," katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, hari ini.


Katanya, dia juga sudah tidak berhubung dengan individu yang menjadi orang tengah yang menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat selain tidak mempunyai maklumat keluarga itu.


"Saya mohon orang ramai yang ada sebarang maklumat mengenai anak atau keluarga angkat berkenaan membantu saya. Jika Hajah Saripah masih ada, tolonglah bantu saya," katanya.


Suri rumah itu berkata, sebelum menutup mata dia dan suami mahu bertemu anak sulung mereka dan mengakui mereka tidak akan memaksa remaja itu kembali kepada pangkuan keluarga kandung.


"Saya sangat rindu dan teringin melihatnya. Saya mahu anak tahu yang saya sayangkannya selain dia juga mempunyai empat adik lagi termasuk perempuan kerana ia turut berkait soal nasab.


"Saya juga faham keluarga angkat anak sudah menjaganya selama 14 tahun ini dan saya tidak akan mengambilnya kerana sudah pasti dia lebih selesa bersama mereka, cuma izinkanlah kami berjumpa itu sudah cukup untuk saya," katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Noor Hidayu di talian 016-4484940.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!