Sumpit 37 ekor lembu curi, jual bawah RM1,000


Sumpit 37 ekor lembu curi, jual bawah RM1,000

"Kegiatan licik sekumpulan tiga lelaki termasuk penagih dadah dari Melaka menggunakan ubat pelali untuk mencuri 37 ekor lembu muda bernilai RM85,000 di sini terbongkar apabila kesemuanya diberkas "

REMBAU – Kegiatan licik sekumpulan tiga lelaki termasuk penagih dadah dari Melaka menggunakan ubat pelali untuk mencuri 37 ekor lembu muda bernilai RM85,000 di sini terbongkar apabila kesemuanya diberkas dalam satu operasi khas Sabtu lalu.

Kesemua suspek berusia 29 hingga 38 tahun lalu itu diberkas selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada empat penternak di Ladang Sungai Baru di sini pada Khamis lalu mengatakan lembu mereka telah dicuri sejak sebulan lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, suspek diberkas pada pukul 5 petang di beberapa lokasi di Kuala Sungai Baru, Melaka hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

Katanya, modus operandi suspek ialah menyasarkan lembu yang dibiarkan bebas di dalam kawasan ladang sebelum menembak haiwan itu dengan ubat pelali sebelum disumbat ke dalam kereta jenis Proton Saga.

“Sindiket menyasarkan haiwan ternakan yang lepas bebas di kawasan ladang kelapa sawit untuk dicuri dan dijual kepada pihak ketiga pada harga murah di bawah RM1,000.

“Ada juga lembu yang dicuri secara berperingkat sejak sebulan lalu itu dimasukkan di dalam kandang lain sebelum dijual. Penternak hanya menyedari kehilangan haiwan mereka selepas terdengar bunyi sumpitan pada pukul 3 pagi Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Hazri, apabila ditinjau, penternak nampak ada ternakan tumbang berhampiran sebuah kereta jenis Proton Saga.

Tambahnya, penternak kemudian menjerit hingga menyebabkan suspek me­larikan diri. Selepas dikira, pemilik mendapati 37 ekor lembu bernilai RM85,000 daripada empat penternak lesap.

“Selain suspek, polis turut merampas 14 ekor lembu, dua telefon bimbit dan seunit picagari,” katanya.

Ujar Hazri, dua suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dadah di Melaka dan Negeri Sembilan selain dikehendaki berhubung kes bahan khayal di Cheras, Kuala Lumpur.

“Seorang lagi mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah. Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 13 Disember ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Hazri, polis masih mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Adi Irwan Abd. Malek di talian 018-225 3484 atau IPD Rembau di talian 06-685 1999 bagi membantu siasatan.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!