Kerana hutang, suami sanggup 'cagar' isteri
"Jenis suami yang tak bertanggungjawab, mahu hidup senang tapi guna isteri sebagai cagaran"
PETALING JAYA – Ramai suami yang mahu hidup senang sanggup ‘mencagar’ isteri dengan menggunakan nama bini bergaji besar untuk membuat pinjaman peribadi dan kad kredit, malah ada yang berhutang dengan ah long.
Hutang-hutang itu meliputi pelbagai tujuan antaranya pembelian kereta, motosikal dan dijadikan modal perniagaan selain pembiayaan rumah yang menggunakan nama bersama suami dan isteri.
Malangnya apabila si suami tidak mampu membayar hutang tersebut, mereka tergamak melarikan diri dan membiarkan pasangan terkontang-kanting seorang diri menanggung bebanan hutang sehingga diburu pihak bank dan ah long.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif yang mendedahkan perkara itu berkata, panggilan yang diterimanya daripada isteri teraniaya semakin bertambah selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika sebelum pandemik Covid-19, purata panggilan yang saya terima setiap hari berkaitan kes isteri menanggung hutang suami atau bekas suami sekitar dua atau tiga panggilan sahaja.
“Bagaimanapun, angka itu meningkat kira-kira lima hingga lapan panggilan setiap hari selepas PKP. Itu adalah panggilan yang saya terima, belum campur lagi dengan yang diterima pegawai lain daripada mangsa-mangsa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, ramai suami yang menggunakan nama isteri sebagai penjamin kepada pinjaman, lebih-lebih lagi jika pasangan mereka bekerjaya dan mempunyai gaji yang lebih tinggi.
Kata beliau, jika membuat pinjaman atas nama sendiri, mereka tahu pihak bank tidak akan meluluskannya kerana gaji bulanan yang tidak mencukupi.
“Jadi mereka mengambil kesempatan terhadap isteri dengan menggunakan nama bini untuk membuat pinjaman atau sebagai penjamin,” ujarnya.
Rosland memberitahu, ada juga golongan isteri yang hanya menjadi suri rumah, manakala suami mereka yang bekerja dengan pendapatan rendah, tetapi berhutang dengan ah long.
“Apabila tidak mampu membayar hutang ah long, si suami tergamak melarikan diri dan menyorok dengan tinggalkan isteri serta anak-anak.
“Sudahnya, ah long hari-hari datang ke rumah dan mengganggu isteri untuk menuntut hutang, sedangkan dia tidak tahu keberadaan suami,” ujarnya.
Rosland berkata, jumlah hutang yang ditanggung isteri juga pelbagai, bahkan ada yang mencecah sehingga jutaan ringgit.
Menurutnya, ada kes isteri jatuh bankrap angkara suami yang menggunakan namanya sebagai penjamin tanpa disedari wanita terbabit.
“Sudahlah gantung tidak bertali apabila melarikan diri, langsung tidak memberi nafkah serta membiarkan isteri menanggung hutang tersebut.
“Mereka langsung tiada sifat tanggungjawab dan ini antara kisah-kisah yang saya terima daripada golongan isteri yang berdepan masalah ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, panggilan diterima itu tidak hanya di sekitar Lembah Klang, malah dari di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ada daripada mereka sekadar meluahkan masalah dihadapi dan saya membantu dengan memberi cadangan atau menyelesaikan isu dihadapi bersama pihak bank.
“Jika hutang tersebut dibuat dengan ah long dan golongan isteri dan bekas ini diganggu mereka untuk kutipan hutang, kita akan berbincang dan membuat rundingan dengan ah long terhadap masalah dihadapi,” ujarnya.
@liputan7official