‘Ikat brek’ tipu komputer Puspakom
"Taktik itu digunakan untuk mengaburi pihak Puspakom seolah-olah brek itu masih berfungsi dengan baik seperti baharu."
SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendedahkan terdapat segelintir pemilik kenderaan perdagangan menggunakan taktik ‘ikat brek’ semata-mata ingin melepasi ujian berkala selain mahu berjimat hingga membahayakan nyawa pengguna lain.
‘Ikat brek’ yang hanya memerlukan upah RM25 berbanding kos sebenar untuk menukar alat ganti brek baharu dilakukan dengan melaras sistem keselamatan kenderaan tanpa menukar komponen yang telah haus.
Taktik itu digunakan untuk mengaburi pihak Puspakom seolah-olah brek itu masih berfungsi dengan baik seperti baharu.
Selepas lulus, pemilik akan melonggarkan semula ikatan pada brek tersebut bagi mengelakkan ia memanas dan terbakar.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn. Bhd., Mohammed Shukor Ismail berkata, pemeriksaan brek pada kenderaan perdagangan diwajibkan setiap enam bulan sekali.
Katanya, taktik ‘ikat brek’ amat bahaya kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan kerana bas atau lori sering berjalan jauh sehingga melebihi 300 kilometer sehari.
“Keadaan itu akan mengakibatkan brek kenderaan itu menjadi haus atau rosak dalam tempoh singkat.
“Taktik itu terbongkar apabila kita melakukan risikan mengenai taktik yang lebih mementingkan keuntungan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Mohammed Shukor, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan tugas Puspakom meluluskan kenderaan tidak mengikut piawaian sehingga wujud istilah ‘kawtim’.
Tambahnya, tohmahan itu tidak berasas kerana pemeriksaan Puspakom menggunakan mesin dan peralatan komputer.
“Ada juga taktik menyewa tayar supaya kelihatan seperti baharu dan menukar semula dengan yang lama selepas pemeriksaan dilakukan,” katanya.
Ujar Mohammed Shukor, pihaknya boleh mengesan luka pada sisi tayar dan lama-kelamaan ia akan pecah.
Katanya, kegiatan menyewa komponen tayar atau ‘ikat brek’ adalah di luar bidang kuasa pihaknya kerana ia dilakukan sebelum pemilik hadir ke Puspakom.
“Tiada manipulasi dalam keputusan kerana pemeriksaan dihantar terus ke pangkalan data tanpa campur tangan manusia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada juga pengusaha yang mahu memastikan keselamatan pada pekerja dan pengguna lain.
“Mereka melakukan pemeriksaan setiap tiga bulan. Setakat ini, kita telah memeriksa hampir tiga juta kenderaan sepanjang tahun lalu dengan 15 peratus daripadanya gagal ujian brek serta gelincir sisi,” katanya.
@liputan7official