VIDEO - Pemandu kereta rentung, dua penumpang parah


Pemandu kereta rentung, dua penumpang parah

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum melanggar titi batu. Akibat kejadian itu, kenderaan yang dinaiki mangsa terbakar sebelum mangsa ditemukan rentung di tempat duduk pemandu,” katanya


BATU PAHAT: Seorang lelaki rentung dalam kereta dinaikinya selepas terlibat kemalangan di Kilometer 10, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 11.30 malam ketika mangsa yang berusia 43 tahun dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat ke Pekan Yong Peng.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum melanggar titi batu.

“Akibat kejadian itu, kenderaan yang dinaiki mangsa terbakar sebelum mangsa ditemukan rentung di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Menurut Ismail, dua penumpang berusia 27 dan 25 yang bersama-sama mangsa mengalami kecederaan parah, namun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Semua mangsa yang terlibat dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan dan proses bedah siasat,” katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II, Firdaus Ahmad berkata, kemalangan berkenaan telah menyebabkan kebakaran  hampir 90 peratus daripada keseluruhan kereta.

“Seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan terbakar manakala dua orang mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!