Ceroboh pusat tahfiz, belasah pelajar tahfiz: Lima lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM2,000


Ceroboh pusat tahfiz, belasah pelajar tahfiz: Lima lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM2,000 


KUALA LIPIS, PAHANG Lima lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru, 11 Ogos lalu. 

Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38; Zulkifli Mohd. Nasir, 27; Azraen Che Mat Noor, 43; Mohd. Amirul Afif Che Mat Noor,  29, dan Rizuwan Hazmi,  47,  membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad. 


Dalam penghakimannya, Siti Aisyah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap. 

Mengikut kertas pertuduhan,  kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah,  Jalan Cheneras di sini pukul 5.10  petang, 11 Ogos lalu. 


Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya. 

Sementara itu, pada prosiding yang sama, tiga tertuduh, Wan Haris,  Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd. Rasid, 26, yang merupakan seorang guru. 

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya. 


Siti Aisyah menjatuhkan hukuman kepada Wan Haris, Zulkifli dan Azraen juga terhadap Mohd. Amirul dan Rizuwan lapan bulan penjara dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. 

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab. Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam prosiding itu, Rifah Izzati  meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh kerana kejadian itu telah menarik perhatian awam dan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana perlakuan tersebut dilakukan di pusat tahfiz. 

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!